Seorang lagi suspek kes Bill Kayong dicekup.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 12, 2016
Suspek kesembilan kes tembak Bill Kayong ditahan untuk membantu siasatan.
MIRI: Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak pemimpin PKR Cawangan Miri, Bill Kayong berjaya diberkas polis petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata tangkapan ke atas suspek dibuat sekitar jam 6 petang, pada 10 Julai lalu hasil serbuan polis ke sebuah restoran terletak di Jalan Bendahara di sini.

Berikutan itu, lelaki berusia 27 tahun itu yang merupakan suspek kesembilan dalam kes ini dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

“Suspek ditahan untuk disoal siasat berhubung kes bunuh ini dan beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Setakat ini, seramai lapan orang suspek masih dalam tahanan polis termasuk suspek terbaharu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Dev, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan hasil siasatan dijangka dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu, Bill Kayong, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian berlaku ketika mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin ke tempat kerja terletak di pusat bandar.

- Utusan Borneo

Kes Bill Kayong, enam suspek direman lanjut tujuh hari.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 9, 2016
Dua daripada enam suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk direman lanjut tujuh hari lagi.
MIRI: Enam suspek termasuk seorang wanita ditangkap berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Miri, Bill Kayong diperintahkan Mahkamah Majistret di sini pagi semalam supaya direman lanjut tujuh hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman lanjut dikemukakan pegawai penyiasat kes.

Terdahulu itu, semua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun direman selama tujuh hari bermula 1 Julai lalu dan berakhir pagi semalam mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, memandangkan siasatan lanjut polis masih belum dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, justeru pegawai penyiasat memohon tempoh reman dilanjutkan tujuh hari lagi.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan semua suspek direman sehingga 15 Julai ini.

Berdasarkan permohonan reman terdahulu, keenam-enam suspek ditangkap di beberapa lokasi berasingan pada malam 30 Jun dan awal pagi 1 Julai untuk membantu siasatan lanjut polis berhubung kes tembak tersebut.

- Utusan Borneo

Suspek kelapan kes bunuh Bill Kayong diberkas.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 8, 2016

MIRI: Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak Setiausaha PKR Cawangan Miri Bill Kayong berjaya diberkas polis malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata suspek berusia 28 tahun ditangkap sekitar jam 10.30 malam kelmarin oleh Pasukan Penyiasat Khas di sebuah pusat hiburan, Piasau Utara 1 di sini.

“Pasukan Penyiasat Khas mempunyai alasan mempercayai bahawa suspek terbabit merupakan suspek kelapan dalam kes ini dan dapat memberi petunjuk lebih jelas berhubung kes pembunuhan tersebut.

“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini petang ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Menurut Dev, setakat ini seramai lapan orang suspek telah ditangkap berhubung kes pembunuhan Bill Kayong.

Daripada jumlah itu, tujuh orang termasuk suspek terbaharu ditangkap malam kelmarin masih dalam tahanan polis manakala seorang lagi iaitu suspek ketujuh dibebaskan terlebih dahulu setelah permohonan reman ke atasnya ditolak mahkamah Ahad lalu.

“Pasukan Penyiasat Khas memohon tahanan reman lanjut ke atas keenam-enam suspek terdahulu memandangkan siasatan lanjut terhadap mereka belum dapat diselesaikan.

“Terdapat beberapa orang suspek lagi masih bebas namun buat masa ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti mereka kerana bimbang menjejaskan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu Bill, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian belaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala ke arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja terletak di pusat bandar.

Dalam pada itu, suspek kelapan yang dibawa ke Mahkamah Majistret petang semalam diperintahkan supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

- Utusan Borneo

Motif pembunuhan Bill tidak akan didedah.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 8, 2016

KUCHING: Polis tidak akan mendedahkan motif di sebalik pembunuhan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bill Kayong kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata beberapa tindakan masih lagi perlu diambil untuk melengkapkan siasatan sebelum hasil siasatan dikemukakan kepada pendakwa raya.

“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan hasil siasatan kami, seperti motif pembunuhan kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan dan proses perbicaraan di mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasminya di sini, kelmarin.

Selain itu beliau turut ditanya sama ada enam suspek yang ditahan sebelum ini hanya sebagai pembunuh upahan dan siapakah dalang di sebalik insiden tersebut.

“Seperti apa yang saya telah katakan, saya tidak dapat mendedahkan apa-apa buat masa sekarang kerana siasatan masih dijalankan dan kami tidak akan menghentikan siasatan sehingga kami berpuas hati bahawa kami sudah mengambil setiap langkah yang ada.” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan secara menyeluruh mengenai pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkaitan pengganas.

“Orang ramai mesti juga berwaspada dan segera memaklumkan kepada polis jika mereka mengesan sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

- Utusan Borneo

Kes bunuh Bill Kayong selesai.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 6, 2016

KUCHING: Polis percaya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Bill Kayong selepas penemuan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kejadian yang berlaku pada 21 Jun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata senapang tersebut berjaya ditemui dari rumah seorang daripada enam suspek di Jalan Hai Nam Lama, Miri sekitar jam 5 petang semalam.

Menurutnya, turut ditemui ialah beberapa butir peluru termasuk satu kelongsang peluru yang telah digunakan.

“Hasil siasatan pada jam 5 petang tadi (semalam), seorang daripada suspek membawa pasukan penyiasat ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama dan menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk membunuh Bill Kayong.

“Senapang patah dan beberapa butir peluru termasuk satu kelongsong yang telah digunakan berjaya ditemui dari rumah tersebut dan kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

“Justeru, dengan tangkapan suspek-suspek dan rampasan senapang patah ini, kita yakin kes pembunuhan Bill Kayong berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, semalam.

Mazlan bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya masih lagi mengesan beberapa suspek yang masih bebas.

“Butir-butir lanjut mengenai suspek-suspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini dan pasukan kita juga sedang mengemas kini siasatan dengan tujuan menuduh suspek-suspek yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Mangsa (Bill) ditembak mati ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat E-Mart, Tudan, Miri dan hasil bedah siasat serta siasatan forensik mendapati mangsa ditembak menggunakan senapang patah.

Bagaimanapun, tiada saksi yang tampil ke hadapan membantu siasatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian serta persekitaran yang merakamkan kejadian itu.

“Dari mulanya, polis telah menghadapi cabaran menyelesaikan kes ini dan pada hari berikutnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan satu pasukan khas yang diketuai KJSJ SAC Dev Kumar.

“Selain itu, beberapa pasukan dari Bukit Aman yang mempunyai kepakaran tertentu juga telah datang ke Miri untuk membantu pasukan khas ini.

“Hasil siasatan yang dijalankan, enam suspek berjaya ditangkap bersabit kes ini dan mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 41 tahun,” katanya.

Sementara itu, Khalid melalui laman Twiternya turut mengucapkan tahniah kepada Polis Sarawak kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya enam suspek serta penemuan senjata yang digunakan.

- Utusan Borneo