(Utusan Borneo)
Published : June 22, 2016
![]() |
TUNTUT KEADILAN: Dusit (tiga kanan) bersama Sidi (tiga kiri), John (tengah) dan wakil-wakil 13 NGO Dayak pada sidang media di Kuching, semalam. |
Jurucakap bagi 13 NGO Dayak Dr Dusit Jaul berkata, meskipun tindakan itu umpama menjolok sarang tebuan dan mencabar keazaman Dayak, masyarakat harus kekal bertenang dan jangan bertindak di luar batas undang-undang.
Sebaliknya kata beliau, biarkan pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci bagi menghadapkan dalang di sebalik kejadian itu ke muka pengadilan.
“Pembunuhan kejam ini menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat Dayak kerana ia umpama menjolok sarang tebuan dan pada masa sama mencabar keazaman Dayak.
“Kita berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci dan hadapkan dalang ke muka pengadilan dengan segera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Sidi Munan dan Timbalan Presiden Kongres Dayak Malaysia (DNC) Datuk John Tenewi Nuek.
Kematian Bill katanya, merupakan satu kehilangan besar kerana beliau dengan lantang sering memperjuangkan hak Dayak.
Tidak ada kata-kata yang dapat mengambarkan kesedihan dan kemarahan apabila nyawa pejuang hak Dayak ditamatkan sebelum tiba waktunya.
“Bill Kayong tidak mati sia-sia. Beliau meninggal dunia sebagai wira kepada masyarakat Dayak apabila mengabadikan hidup untuk perjuangan Dayak dan untuk itu, beliau akan sentiasa dikenang oleh seluruh masyarakat Dayak,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi terhadap perkara itu dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan.
Sementara itu, Sidi menyeru semua NGO Dayak memberi kerjasama dengan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.
“Percayalah, kematiannya bukan sia-sia. Nama Bill Kayong akan terus dikenang sampai bila-bila atas dedikasinya memperjuangkan masyarakat peribumi Sarawak,” katanya.
Presiden Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) Kapten (B) Collin Imran ketika dihubungi Utusan Borneo berkata, kematian Bill Kayong akan meningkatkan lagi semangat dalam memperjuangkan hak-hak Dayak.
Menurut beliau, tidak dinafikan insiden itu menimbulkan kemarahan di kalangan ahli serta rakan seperjuangan namun akan membiarkan pihak polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan bagi memastikan penjenayah itu ditangkap.
“Kematian anda merupakan pembakar semangat kami untuk meneruskan perjuangan demi hak-hak kita serta keadilan,” katanya.
- Utusan Borneo