# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
SIBU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak mengutuk insiden pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Miri Bill Kayong yang ditembak mati ketika dalam perjalanan ke tempat kerja kelmarin.
Ketua AMK Sarawak Abdul Raafidin Majidi berkata, tindakan bersifat pengecut itu bukan sahaja membangkitkan kemarahan ahli dan penyokong Parti Keadilan (PKR) tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.
Justeru AMK Sarawak katanya, menggesa pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan individu bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.
“Rata-rata rakyat mengenali Bill Kayong sebagai seorang yang lantang bersuara terutama dalam memperjuangkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“AMK Sarawak juga percaya pembunuhan ini telah dirancang dengan rapi bagi menghentikan perjuangan beliau,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan ke Utusan Borneo semalam.
Menurut Raafidin, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu turut berkaitan dengan kelantangan PKR bersuara dalam membanteras jenayah termasuk isu ketidakadilan di negeri ini.
Selain itu, Bill Kayong merupakan pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo yang pernah diserang di hadapan klinik beliau sebelum ini.
Raafidin berkata AMK Sarawak bertekad meneruskan legasi perjuangan Bill Kayong terutama mempertahankan tanah adat kaum Iban serta hak rakyat keseluruhannya.
- Utusan Borneo