Kematian Bill: Tiada lagi teman bersarapan Dr Michael Teo.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
Dr Michael Teo
MIRI: Bertugas sebagai pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo bukan hanya membantu dalam banyak tugasan wakil rakyat itu, malah ia menjadikan Bill Kayong amat rapat dengan majikannya itu.

“Setiap pagi beliau akan minum atau bersarapan bersama Dr Teo. Ia sudah menjadi rutin beliau pada setiap pagi. Oleh itu saya tidak dapat bayangkan bagaimana pagi itu Dr Teo tertunggu-tunggu kedatangannya, namun kemudian digemparkan dengan insiden pembunuhannya.

“Mereka memang rapat dan kehilangan beliau, pastinya amat dirasai oleh Dr Teo,” cerita Ketua AMK Miri Steve Teo.

Katanya kehilangan amat dirasai bukan sahaja oleh Ahli Parlimen Miri itu, malah seluruh warga PKR Miri, terutama AMK Miri.

“Beliau adalah satu aset amat penting dan bernilai kepada PKR dan pemergiannya adalah kehilangan satu aset yang amat besar serta amat dirasai oleh ahli dan penyokong PKR terutama di Miri,” tambahnya.

Bill Kayong yang juga setiausaha PKR Cawangan Miri, ditembak mati dalam kenderaannya ketika berhenti di lampu isyarat berhadapan Pusat Komersil E-mart di Jalan Bypass Miri-Kuala Baram dekat sini, sekitar jam 8 pagi, Selasa lalu. Beliau dalam perjalanan ke pejabatnya di pusat bandar Miri.

Pada Pilihan Raya Negeri lalu, beliau bertanding sebagai calon PKR di kerusi Bekenu, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus yang memperolehi majoriti 4,789 manakala Bill memperolehi 1,220 undi dan dua calon Bebas yang lain, Austin Sigi Melu mendapat 589 undi serta Peter Jelin mendapat 565 undi.

Mengenai kes yang menimpa Bill, Steve pada awalnya menjangka ia hanyalah gurauan semata-mata.

“Saya masih tidak percaya perkara seperti ini berlaku. Malah sampai sekarang saya masih tidak percaya dan berharap ini semua hanya mimpi dan tidak benar-benar berlaku,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Miri di sini, semalam.

Malah hingga jam 5 petang hari kejadian pada Selasa lalu, beliau masih tidak mahu menerima hakikat tersebut dan cuba menafikan perkara tersebut walaupun dihujani pelbagai kenyataan menerusi media sosial termasuk WhatsApp.

“Malah saya sudah melihat mayatnya bersama Dr Teo (Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo) petang semalam (Selasa) namun masih sukar untuk saya terima,” ujarnya kesal dan sedih.

Beliau yang juga bendahari AMK Sarawak berkata, bagi pihak AMK khususnya di Miri, mereka melahirkan rasa teramat sedih dan marah dengan kejadian yang berlaku serta berharap pihak polis dapat menyelesaikan segera kes tersebut dengan telus.

“Kami amat mengecam pembunuhan yang berlaku ke atas Bill yang merupakan rakan seperjuangan dalam parti dan berharap kes ini dapat diselesaikan segera.

“Malah sebagai orang awam saya sendiri turut tidak terkecuali untuk berasa bimbang dengan keselamatan diri, apatah lagi dalam kes ini kejadian tembak berlaku pada siang hari dan di tengah jalan raya,” tambahnya.

Menurut Steve lagi, kali terakhir beliau bersama Bill ialah tiga minggu lepas, minum bersama di kedai kopi bersebelahan dengan pejabat Pusat Khidmat PKR Miri dan pejabat Ahli Parlimen Miri Dr Teo di sini, namun Bill tidak menunjukkan tanda pelik atau sebarang perkara yang meresahkannya.

“Seperti biasa, beliau ceria dan tidak mempamerkan sebarang keresahan atau kegusaran. Sentiasa tenang dan fokus dengan apa yang ingin dilakukan,” tambahnya.

- Utusan Borneo