Suspek ketujuh kes bunuh Bill Kayong ditahan.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 4, 2016

MIRI: Pasukan bertindak khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan Bill Kayong menahan suspek ketujuh seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah kedai mencuci kereta di sini malam kelmarin.

Ketua pasukan penyiasat, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Dev Kumar berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan tersebut.

“Pasukan bertindak khas menyiasat kes ini percaya suspek ketujuh merupakan orang penting yang dapat membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.

Bagaimanapun, permohonan reman terhadap suspek tidak diluluskan oleh mahkamah menyebabkan pihaknya tiada pilihan selain akur dengan perintah mahkamah dan melepaskan suspek.

Mengenai siasatan lanjut polis ke atas keenam-enam suspek yang ditahan malam Khamis dan awal pagi Jumaat lalu, beliau berkata mereka kini sedang dalam proses siasatan.

“Kami tidak boleh mendedahkan lebih lanjut berhubung siasatan ke atas keenam-enam suspek ini kerana tidak mahu menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Kes pembunuhan Bill Kayong, 43, dianggap salah satu kes berprofil tinggi di negara ini selepas setiausaha PKR Miri dan bekas calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di kerusi Bekenu itu, ditembak mati oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke pejabatnya pada pagi 21 Jun lalu.

- Utusan Borneo