# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 8, 2016
MIRI: Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak Setiausaha PKR Cawangan Miri Bill Kayong berjaya diberkas polis malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata suspek berusia 28 tahun ditangkap sekitar jam 10.30 malam kelmarin oleh Pasukan Penyiasat Khas di sebuah pusat hiburan, Piasau Utara 1 di sini.
“Pasukan Penyiasat Khas mempunyai alasan mempercayai bahawa suspek terbabit merupakan suspek kelapan dalam kes ini dan dapat memberi petunjuk lebih jelas berhubung kes pembunuhan tersebut.
“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini petang ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.
Menurut Dev, setakat ini seramai lapan orang suspek telah ditangkap berhubung kes pembunuhan Bill Kayong.
Daripada jumlah itu, tujuh orang termasuk suspek terbaharu ditangkap malam kelmarin masih dalam tahanan polis manakala seorang lagi iaitu suspek ketujuh dibebaskan terlebih dahulu setelah permohonan reman ke atasnya ditolak mahkamah Ahad lalu.
“Pasukan Penyiasat Khas memohon tahanan reman lanjut ke atas keenam-enam suspek terdahulu memandangkan siasatan lanjut terhadap mereka belum dapat diselesaikan.
“Terdapat beberapa orang suspek lagi masih bebas namun buat masa ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti mereka kerana bimbang menjejaskan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu Bill, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.
Kejadian belaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala ke arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.
Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja terletak di pusat bandar.
Dalam pada itu, suspek kelapan yang dibawa ke Mahkamah Majistret petang semalam diperintahkan supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
- Utusan Borneo