1,000 hadiri penghormatan terakhir jenazah Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 24, 2016




MIRI: Lebih 1,000 orang terdiri daripada sanak saudara, rakan-rakan, kenalan serta ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberikan penghormatan terakhir kepada aktivis yang juga Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong yang ditembak mati pada 21 Jun lalu.

Malah mereka yang datang memberi penghormatan adalah daripada pelbagai bangsa dan agama, sama ada dari NGO mahupun parti-parti politik, khususnya PKR, yang datang dari seluruh negeri.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Bill Kayong, seawal jam 5 petang pada 22 Jun lalu ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara  dan Keselamatan, Datuk Lee Kim Shin; ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting; Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang serta pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii.

Manakala pada sebelah malamnya ialah Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo yang juga rakan karib beliau serta isteri; Naib Ketua Wanita PKR, Voon Siak Ni serta  wakil kepada ahli politik yang lain.

Upacara memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah beliau, diadakan di kediamannya di Desa Senadin di sini selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis, sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lambir, di Jalan Lusut-Taman Tunku dekat sini.

Perubahan tempat pengebumian jenazah Bill Kayong atau Mohd Hasbi Abdullah dari Tanah Perkuburan Islam Batu 1 di Kuala Baram ke Lambir, dibuat semalam, atas permintaan ahli keluarga beliau sendiri.

Sementara itu, orang ramai yang memberi penghormatan kepada beliau memenuhi dalam dan luar rumah hingga ke lorong dan laluan utama, Jalan Jati Utama, manakala kehadiran mereka di kediamannya seawal jam 4 petang kelmarin, sebaik jenazahnya dikeluarkan dari Rumah Mayat Hospital Miri, setelah selesai bedah siasat.

- Utusan Borneo