(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
![]() |
PILU: Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga, saudara dan rakan ketika menunggu jenazah Bill Kayong dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Miri, petang semalam selepas bedah siasat. |
Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas jenazah mangsa semalam, terdapat dua butir peluru ditemui dalam luka tembakan pada bahagian kanan leher mangsa.
Katanya, luka tembakan itu menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian.
Ketika ditanya berapa banyak das tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa, beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
“Saya tidak dapat memberikan maklumat dengan terperinci bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, SAC Dev Kumar memberitahu sehingga semalam, tiada tangkapan dibuat.
Bedah siasat ke atas jenazah mangsa yang dilakukan semalam selesai menjelang petang dengan jenazahnya dibawa keluar dari rumah mayat pada jam 4 petang oleh ahli keluarga, saudara dan rakan-rakan yang sabar menunggu sejak jam 10 pagi.
Jenazah Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Hasbi Abdullah akan dibawa ke kediamannya di Desa Senadin Fasa 5 di sini untuk majlis penghormatan terakhir kepada beliau sehingga malam ini.
Pagi esok, jenazahnya akan diserah kepada pihak Majlis Islam Sarawak dan Jawatankuasa Masjid Ar-Rayyan untuk dimandi seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Kuala Baram selepas solat Jumaat.
- Utusan Borneo