Siasatan kes bunuh Bill tidak harus libatkan polis negeri ini: Baru Bian.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
KEADILAN: Baru (barisan depan, tiga kiri) mengetuai pemimpin PKR Sarawak menuntut keadilan atas kematian Bill Kayong.

KUCHING: Pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan Bill Kayong tidak seharusnya melibatkan pegawai polis yang bertugas di negeri ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata pengecualian itu penting bagi memastikan pasukan khas tersebut ‘bebas’.

“Kita mengalu-alukan pengumuman Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes Bill dan kita meminta tidak ada pegawai polis yang bertugas di sini terlibat dalam pasukan tersebut untuk memberi persepsi ia ‘bebas’,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How serta beberapa pemimpin PKR Negeri di sini, semalam.

Menurut Baru PKR Sarawak membuat pendirian kukuh mengenai kes Bill kerana banyak kes sama yang berlaku khasnya di Miri sejak 2012 masih gagal diselesaikan.

“Pembunuhan Bill Kayong kelmarin (Selasa) tidak boleh dibiarkan menjadi satu lagi kes sama dalam fail polis Sarawak dan harus diselesaikan.

“Kami (PKR Sarawak) sangat bimbang dengan tahap keganasan yang berlaku dalam masyarakat kita terhadap ahli politik dan aktivitis sosial,” katanya.

Oleh itu ujarnya, untuk mengetahui motif sebenar pembunuhan itu polis mesti melihat aktiviti-aktiviti Bill sebagai ahli PKR dan Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang dikongsi meluas dalam media sosial dan akhbar.

“Kematian Bill mungkin ada kaitan dengan kedua-dua aspek hidupnya. Bill terkenal sebagai ahli politik dan bertanding sebagai calon PKR di Bekenu pada Pilihan Raya Negeri lalu.

“Selain itu beliau amat dikenali sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo dan sebagai setiausaha PEDAS Allahyarham aktif mempertahankan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) malah sering mewakili penduduk rumah panjang menentang pencerobohan (tanah) oleh syarikat pembalakan dan perladangan,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu.

Kelmarin Bill maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berlaku di lampu isyarat berdekatan Pusat Komersial Emart, Tudan Miri kira-kira jam 8.30 pagi.

Bill, 43, mati di tempat kejadian setelah satu das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian leher sebelah kanan (bawah telinga kanan).

- Utusan Borneo