Seorang lagi suspek kes Bill Kayong dicekup.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 12, 2016
Suspek kesembilan kes tembak Bill Kayong ditahan untuk membantu siasatan.
MIRI: Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak pemimpin PKR Cawangan Miri, Bill Kayong berjaya diberkas polis petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata tangkapan ke atas suspek dibuat sekitar jam 6 petang, pada 10 Julai lalu hasil serbuan polis ke sebuah restoran terletak di Jalan Bendahara di sini.

Berikutan itu, lelaki berusia 27 tahun itu yang merupakan suspek kesembilan dalam kes ini dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

“Suspek ditahan untuk disoal siasat berhubung kes bunuh ini dan beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Setakat ini, seramai lapan orang suspek masih dalam tahanan polis termasuk suspek terbaharu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Dev, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan hasil siasatan dijangka dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu, Bill Kayong, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian berlaku ketika mangsa memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin ke tempat kerja terletak di pusat bandar.

- Utusan Borneo

Kes Bill Kayong, enam suspek direman lanjut tujuh hari.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 9, 2016
Dua daripada enam suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk direman lanjut tujuh hari lagi.
MIRI: Enam suspek termasuk seorang wanita ditangkap berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Miri, Bill Kayong diperintahkan Mahkamah Majistret di sini pagi semalam supaya direman lanjut tujuh hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan reman lanjut dikemukakan pegawai penyiasat kes.

Terdahulu itu, semua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun direman selama tujuh hari bermula 1 Julai lalu dan berakhir pagi semalam mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, memandangkan siasatan lanjut polis masih belum dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, justeru pegawai penyiasat memohon tempoh reman dilanjutkan tujuh hari lagi.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan semua suspek direman sehingga 15 Julai ini.

Berdasarkan permohonan reman terdahulu, keenam-enam suspek ditangkap di beberapa lokasi berasingan pada malam 30 Jun dan awal pagi 1 Julai untuk membantu siasatan lanjut polis berhubung kes tembak tersebut.

- Utusan Borneo

Suspek kelapan kes bunuh Bill Kayong diberkas.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 8, 2016

MIRI: Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes tembak Setiausaha PKR Cawangan Miri Bill Kayong berjaya diberkas polis malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata suspek berusia 28 tahun ditangkap sekitar jam 10.30 malam kelmarin oleh Pasukan Penyiasat Khas di sebuah pusat hiburan, Piasau Utara 1 di sini.

“Pasukan Penyiasat Khas mempunyai alasan mempercayai bahawa suspek terbabit merupakan suspek kelapan dalam kes ini dan dapat memberi petunjuk lebih jelas berhubung kes pembunuhan tersebut.

“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini petang ini (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Menurut Dev, setakat ini seramai lapan orang suspek telah ditangkap berhubung kes pembunuhan Bill Kayong.

Daripada jumlah itu, tujuh orang termasuk suspek terbaharu ditangkap malam kelmarin masih dalam tahanan polis manakala seorang lagi iaitu suspek ketujuh dibebaskan terlebih dahulu setelah permohonan reman ke atasnya ditolak mahkamah Ahad lalu.

“Pasukan Penyiasat Khas memohon tahanan reman lanjut ke atas keenam-enam suspek terdahulu memandangkan siasatan lanjut terhadap mereka belum dapat diselesaikan.

“Terdapat beberapa orang suspek lagi masih bebas namun buat masa ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti mereka kerana bimbang menjejaskan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, pada 21 Jun lalu Bill, 43, ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian belaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala ke arah Permyjaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja terletak di pusat bandar.

Dalam pada itu, suspek kelapan yang dibawa ke Mahkamah Majistret petang semalam diperintahkan supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

- Utusan Borneo

Motif pembunuhan Bill tidak akan didedah.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 8, 2016

KUCHING: Polis tidak akan mendedahkan motif di sebalik pembunuhan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bill Kayong kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata beberapa tindakan masih lagi perlu diambil untuk melengkapkan siasatan sebelum hasil siasatan dikemukakan kepada pendakwa raya.

“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan hasil siasatan kami, seperti motif pembunuhan kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan dan proses perbicaraan di mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasminya di sini, kelmarin.

Selain itu beliau turut ditanya sama ada enam suspek yang ditahan sebelum ini hanya sebagai pembunuh upahan dan siapakah dalang di sebalik insiden tersebut.

“Seperti apa yang saya telah katakan, saya tidak dapat mendedahkan apa-apa buat masa sekarang kerana siasatan masih dijalankan dan kami tidak akan menghentikan siasatan sehingga kami berpuas hati bahawa kami sudah mengambil setiap langkah yang ada.” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan secara menyeluruh mengenai pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkaitan pengganas.

“Orang ramai mesti juga berwaspada dan segera memaklumkan kepada polis jika mereka mengesan sebarang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.

- Utusan Borneo

Kes bunuh Bill Kayong selesai.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 6, 2016

KUCHING: Polis percaya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Bill Kayong selepas penemuan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kejadian yang berlaku pada 21 Jun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata senapang tersebut berjaya ditemui dari rumah seorang daripada enam suspek di Jalan Hai Nam Lama, Miri sekitar jam 5 petang semalam.

Menurutnya, turut ditemui ialah beberapa butir peluru termasuk satu kelongsang peluru yang telah digunakan.

“Hasil siasatan pada jam 5 petang tadi (semalam), seorang daripada suspek membawa pasukan penyiasat ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama dan menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai digunakan untuk membunuh Bill Kayong.

“Senapang patah dan beberapa butir peluru termasuk satu kelongsong yang telah digunakan berjaya ditemui dari rumah tersebut dan kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

“Justeru, dengan tangkapan suspek-suspek dan rampasan senapang patah ini, kita yakin kes pembunuhan Bill Kayong berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, semalam.

Mazlan bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya masih lagi mengesan beberapa suspek yang masih bebas.

“Butir-butir lanjut mengenai suspek-suspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini dan pasukan kita juga sedang mengemas kini siasatan dengan tujuan menuduh suspek-suspek yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Mangsa (Bill) ditembak mati ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat E-Mart, Tudan, Miri dan hasil bedah siasat serta siasatan forensik mendapati mangsa ditembak menggunakan senapang patah.

Bagaimanapun, tiada saksi yang tampil ke hadapan membantu siasatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian serta persekitaran yang merakamkan kejadian itu.

“Dari mulanya, polis telah menghadapi cabaran menyelesaikan kes ini dan pada hari berikutnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penubuhan satu pasukan khas yang diketuai KJSJ SAC Dev Kumar.

“Selain itu, beberapa pasukan dari Bukit Aman yang mempunyai kepakaran tertentu juga telah datang ke Miri untuk membantu pasukan khas ini.

“Hasil siasatan yang dijalankan, enam suspek berjaya ditangkap bersabit kes ini dan mereka terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 41 tahun,” katanya.

Sementara itu, Khalid melalui laman Twiternya turut mengucapkan tahniah kepada Polis Sarawak kerana berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya enam suspek serta penemuan senjata yang digunakan.

- Utusan Borneo

Siasatan terbaik kes tembak Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 5, 2016
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor
SERIAN: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan siasatan berhubung kes tembak mati pemimpin PKR Bill Kayong akan dilakukan sebaik mungkin.

Bercakap pada sidang media di Pos JPG Bunan Gega, Mongkos dekat sini semalam, Mazlan berkata siasatan masih dijalankan membabitkan enam suspek yang direman berhubung kes ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat hasil daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasatan khas yang mengendalikan kes ini.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan ke atas enam suspek yang direman sehingga 8 Julai ini yang menjurus kepada tiga elemen secara prinsipnya termasuk elemen lain yang mungkin timbul selepas ini,” katanya.

Ditanya jaminan kes ini dapat diselesaikan segera, Mazlan berkata penyelesaian kes ini tidak semestinya dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan beliau tidak dapat mengesahkan bila ia dapat diselesaikan.

Tetapi katanya, pihak polis akan melakukan yang terbaik dalam siasatan dan menyelesaikan kes ini yang menarik perhatian umum.

Bill, 43, yang merupakan setiausaha PKR Miri ditembak mati dari jarak dekat dalam kejadian yang berlaku di lampu isyarat berdekatan sebuah pusat komersial di Tudan, 21 Jun lepas.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan enam suspek telah ditangkap dan direman bagi siasatan setakat ini.

- Utusan Borneo

Suspek ketujuh kes bunuh Bill Kayong ditahan.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 4, 2016

MIRI: Pasukan bertindak khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan Bill Kayong menahan suspek ketujuh seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah kedai mencuci kereta di sini malam kelmarin.

Ketua pasukan penyiasat, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Dev Kumar berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan tersebut.

“Pasukan bertindak khas menyiasat kes ini percaya suspek ketujuh merupakan orang penting yang dapat membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.

Bagaimanapun, permohonan reman terhadap suspek tidak diluluskan oleh mahkamah menyebabkan pihaknya tiada pilihan selain akur dengan perintah mahkamah dan melepaskan suspek.

Mengenai siasatan lanjut polis ke atas keenam-enam suspek yang ditahan malam Khamis dan awal pagi Jumaat lalu, beliau berkata mereka kini sedang dalam proses siasatan.

“Kami tidak boleh mendedahkan lebih lanjut berhubung siasatan ke atas keenam-enam suspek ini kerana tidak mahu menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Kes pembunuhan Bill Kayong, 43, dianggap salah satu kes berprofil tinggi di negara ini selepas setiausaha PKR Miri dan bekas calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di kerusi Bekenu itu, ditembak mati oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke pejabatnya pada pagi 21 Jun lalu.

- Utusan Borneo

Enam suspek ditahan.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 2, 2016
Salah seorang suspek yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Pusat Miri pagi semalam selepas mendapat perintah tahanan reman.
MIRI: Enam individu termasuk seorang wanita telah diberkas polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tembak mati Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar berkata semua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun telah ditangkap malam kelmarin dan awal pagi semalam.

Berikutan tangkapan itu katanya, mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret pagi semalam kemudian diperintah supaya direman selama tujuh hari untuk disoal siasat lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluar semalam.

Menurut Dev, setakat ini pasukan khas ditubuh melakukan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat lanjut kerana bimbang akan menjejaskan siasatan polis.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 21 Jun lalu, Bill Kayong, 43, telah ditembak mati dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali menggunakan selaras senapang patah.

Kejadian belaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di lorong tengah menghala arah Permyjaya di lampu isyarat berhampiran Pusat Komersil Emart, Tudan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Desa Senadin untuk ke tempat kerja yang terletak di pusat bandar.

- Utusan Borneo

Enam suspek berhubung pembunuhan Bill Kayong diberkas.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : July 1, 2016

MIRI: Polis memberkas lima lelaki dan seorang wanita malam tadi dan pagi tadi berhubung kes pembunuhan Setiausaha DAP Miri Bill Kayong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata suspek-suspek tersebut berumur antara 22 dan 41 tahun.

"Mereka ditahan reman tujuh hari untuk disoal siasat. Maklumat lanjut kita tidak boleh dedahkan dahulu agar tidak menjejaskan proses siasatan," katanya.

Bill Kayong, 43, ditembak mati ketika dalam kenderaannya pada 21 Jun lepas.

- Utusan Borneo

Fokus tiga sudut.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 29, 2016

KUCHING: Polis menolak motif politik dan perkauman dalam pembunuhan Bill Kayong, sebaliknya menfokuskan tiga sudut yang mungkin menjurus kepada insiden tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, tumpuan diberi kepada isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Bekelit di Bekenu, pergolakan dalaman beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disertai beliau dan isu-isu peribadi.

“Kes ini memakan masa yang lama. Bagi kita masa untuk menjalankan siasatan secara teliti dan terperinci.

“Setakat ini, saya belum dapat memberi maklumat lanjut berkenaan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Polis Sarawak di Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya di sini, kelmarin.

Dev berkata, polis juga telah memanggil beberapa individu untuk dirakamkan percakapan termasuk ahli keluarga, rakan-rakan terdekat, kenalan termasuk pihak yang dikatakan musuh.

Katanya, belum ada saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat, namun polis telah menemu duga orang yang mendengar tembakan tersebut.

Lokasi kejadian iaitu di kawasan lampu isyarat, katanya, tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) serta jauh dari bangunan lain.

Menurut beliau, polis akan berusaha sebaik mungkin untuk melindungi individu yang memberi maklumat.

“Apa pun, kita tengok kualiti maklumat diberikan oleh saksi dan risiko-risiko yang mungkin dihadapi dan kita akan nilai. Kita tahu apa untuk dibuat jika maklumat diterima adalah berkualiti,” katanya.

Dev pada masa sama menyeru orang ramai khasnya pengguna media sosial untuk berhenti menyebar spekulasi gambar individu lain yang tidak berkaitan dengan kes itu sebagai suspek kerana ia mengganggu siasatan.

Baru-baru ini, gambar dua individu yang didakwa suspek bunuh Bill Kayong disebar meluas dalam laman Facebook.

Salah seorang daripada lelaki itu, katanya, merupakan suspek kes bunuh yang dilaporkan pada 6 Jun, manakala seorang lagi pegawai imigresen yang ditahan dan didakwa menyerang dengan pegawai Polis Gerakan Am (PGA) oleh penduduk kampung.

“Tindakan menyebar spekulasi seperti ini tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Bill Kayong, 43, mati ditembak dengan senapang patah oleh individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat berhampiran pusat komersil Permyjaya, Miri ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin ke pejabatnya yang terletak di pusat bandar.

- Utusan Borneo

Beri sokongan isteri Bill dapat kerakyatan: Fatimah.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 29, 2016
Fatimah (dua kanan) berbual dengan isteri Allahyarham Bill, Hasyikin (dua kiri) dan adik Allahyarham Davy Kayong semasa mengunjungi keluarganya di Miri semalam.
MIRI: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat akan membantu dengan memberi sokongan kepada isteri Bill Kayong  mendapatkan kerakyatan tetap atau warganegara Malaysia.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya memberikan surat sokongan kepada isteri Bill iaitu Hasyikin Hatta dan meminta beliau mengemukakan permohonan sekali lagi.

“Kita boleh membantu dengan memberikan sokongan (surat) kepada beliau bagi mendapatkan kerakyatannya.

“Soal memberi surat sokongan adalah perkara biasa kami lakukan termasuk memberi sokongan untuk bantuan kebajikan, ke universiti, pendidikan dan sebagainya,” jelas beliau kepada pemberita di sini.

Petang semalam, Fatimah ketika menemui keluarga Bill atau Mohd Hasbie Abdullah di kediaman Allahyarham di Desa Senadin di sini, turut meminta isteri Allahyarham yang berasal dari Indonesia mengemukakan semula permohonan kerakyataan negara dan negeri ini.

Hasyikin memberitahu, beliau yang telah lama menetap di negeri ini iaitu sejak berkahwin dengan Allahyarham selama 21 tahun lalu, pernah mengemukakan permohonan untuk kerakyatan negeri dan negara ini namun ditolak kerana terdapat kelemahan pada dokumen yang dikemukakan.

Sementara itu, Fatimah dalam lawatannya bertemu isteri, anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham turut menawarkan bantuan khususnya berkaitan bidang kuasa kementeriannya sekiranya keluarga tersebut memerlukan.

“Kita tidak mengira bangsa dan agama dan fahaman politik. Mana-mana perlu dibantu kita bantu terutamanya soal kebajikan,” katanya sambil berharap isteri Allahyarham dapat membuat permohonan kerakyatan semula bagi memudahkan beliau mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun katanya, soal bantuan tiada masalah bagi anak-anaknya kerana mereka mempunyai kerakyatan negara ini.

Selain menyampaikan ucapan takziah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham, Fatimah serta Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail bersama-sama menghulurkan derma peribadi masing-masing kepada isteri Allahyarham.

“Saya berharap isteri dan anak-anak Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini dan reda dengan pemergiannya yang ditentukan oleh Allah,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana isteri dan dua anak Allahyarham berusia 18 dan 14 tahun mendapat sokongan daripada ahli keluarga Bill yang sentiasa berada di sisi menghulurkan bantuan dan sokongan.

“Saya berharap isteri beliau reda dan menerima ketentuan Allah kerana yakin ada rahmat di sebalik apa yang Allah tentukan ini dan pada bulan mulia ini kita berdoa Allahyarham tenang di alam barzakh dan ditempatkan Allah bersama orang yang beriman.

“Bagi isteri beliau, ia bukan sesuatu yang mudah sebagai seorang ibu tunggal, apatah lagi membesarkan dan menyekolahkan dua anaknya yang masih belajar tetapi saya percaya beliau mempunyai sokongan baik dan bagus terutama  sebelah suaminya dan saya dapat lihat dengan jelas kerana semua mereka berada di sini memberi sokongan kepada isteri dan anak-anaknya,” tambahnya.

Selain diiringi Dr Abdul Rahman, turut hadir mengiringi Fatimah ialah Pegawai Kebajikan Bahagian Miri Nurin Chunggat serta pegawai kementeriannya dan wanita-wanita PBB Miri.

- Utusan Borneo

Pemimpin tertinggi PKR dibenar masuk S’wak untuk ziarah jenazah Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 25, 2016
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar

Shamsul Iskandar (Ahli Parlimen Bukit Katil)

Tian Chua (Ahli Parlimen Batu Kawan)
Setiausaha Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Nasution.
MIRI: Beberapa pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini tidak dibenarkan memasuki Sarawak dibenar memasuki Miri untuk memberikan penghormatan terakhir kepada aktivis dan Setiausaha PKR cawangan Miri, Bill Kayong.

Antara yang hadir semasa majlis solat jenazah di Masjid Ar Rayyan, Permyjaya ialah ketiga-tiga Naib Presiden PKR Pusat Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Shamsul Iskandar (Ahli Parlimen Bukit Katil), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu Kawan) dan Setiausaha Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Nasution.

Mereka memasuki Sarawak menggunakan pas khas dan diberikan tempoh selama tujuh hari untuk berada di sini.

Nurul Izzah ketika ditemui berkata, PKR Pusat mahu kematian Bill mendapat pembelaan yang sewajarnya dan mahu pembunuh tersebut ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Parti akan bekerjasama dengan polis dan berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan teliti bagi me-mastikan pembunuh tersebut tidak terlepas. Selain itu, kami mahu isu begitu dekat di hati rakyat Sarawak terutama isu hak tanah adat turut mendapat pembelaan  sewajarnya,” katanya.

Nurul Izzah menambah, Bill seorang aktivis dan anggota PKR yang komited dan begitu aktif memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Mengenai motif pembunuhan Bill berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperjuang beliau, Nurul Izzah berkata, pihaknya tahu Bukit Aman sudah menghantar pegawainya ke sini dan parti menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

Nurul Izzah turut melahir-kan simpati dengan keluar-ga Bill dan berharap dapat membantu keluarga tersebut dengan apa jua cara.

Sementara itu, Tian Chua turut melahirkan rasa terkejut dan rasa tidak percaya dengan apa yang menimpa Bill.

“Kita terkejut perkara ini boleh berlaku di Malaysia. Kita mahu menyampaikan pesan kepada rakyat Sarawak bahawa parti tidak akan bertolak ansur dengan kekejaman dan pembunuhan ngeri seumpama ini dalam budaya politik kita,” katanya.

Tian berharap rakyat Sara-wak akan terus bangkit menentang kekejaman dalam budaya politik.

Bagi Datuk Saifuddin, beliau menyifatkan Bill seorang aktivis yang jujur dalam perjuangan dan komited dalam memperjuangkan hak rakyat.

“Pemergian secara mengejut merupakan satu kehilangan besar bagi Malaysia khususnya rakyat Sarawak,” katanya.

- Utusan Borneo

Mungkin boleh timbang ganjaran.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 25, 2016
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri  Baru Bian
KUCHING: Pihak berkuasa berkaitan atau kerajaan mungkin boleh mempertimbang menawarkan ganjaran kepada orang ramai tampil membantu dalam kes pembunuhan melibatkan aktivis juga Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri  Baru Bian berkata, dalam mana-mana kes serius bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain, akan ada ganjaran pihak berkuasa membantu menyelesaikan kes.

“Malah ia satu idea yang baik untuk pihak berkuasa menawarkan ganjaran khasnya dalam kes yang kita anggap serius sebegini.

“Bukan itu sahaja mungkin kerajaan negeri boleh membantu menawarkan ganjaran ini untuk kita selesaikan kes jenayah sedemikian,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How dan Naib Ketua  Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Voon Shiak Ni di sini, semalam.

Baru pada masa yang sama mengingatkan kepada mereka yang prihatin dengan Bill untuk lebih rasional dengan pemergian beliau dan tidak menjadikan ia sebagai isu lain.

“Kita minta kepada orang ramai, rakan terdekat dan sebagainya untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Kita berharap juga pihak berkuasa akan melakukan siasatan terbaik demi menyelesaikan perkara ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu.

Sementara itu merujuk ke-pada kenyataan Ketua Polis Miri, ACP Junaidi Bujang bahawa polis di Miri tidak dapat bertindak terhadap gengster di Miri yang membuat ugutan kerana bukti tidak mencukupi, Baru berkata ia memang jawapan dijangkakan.

“‘Bukti tidak mencukupi’ mungkin alasan munasabah jika hanya satu dua insiden telah berlaku tetapi ia sama sekali tidak dapat diterima dalam drama pemangsaan ke atas penduduk kampung Bekelit di mana banyak laporan dibuat,” katanya.

Menurut Baru, Bill menerima panggilan telefon daripada gengster (yang beliau kenali) yang mengugut untuk membunuhnya kerana merekodkan pemberian wang yang telah dibuat kepada Bill untuk berunding dengan penduduk kampung.

“Bill telah memperdengarkan rakaman itu kepada penduduk kampung dan gengster tersebut mengetahui tentangnya.

“Laporan telah dibuat tetapi tiada tindakan diambil oleh polis. Dr Michael Teo turut menerima ancaman maut daripada gengster yang sama,” katanya.

Sehubungan itu katanya ia adalah tugas mereka untuk menjaga keamanan dan melindungi rakyat dan  kerja mereka untuk tahu apa yang sedang berlaku di kawasan di bawah penjagaan mereka.

“Kami memerlukan penjelasan yang lebih baik daripada ACP berbanding “‘bukti tidak mencukupi’,” kata Baru.

- Utusan Borneo

Bukti toleransi tinggi.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 25, 2016
SELAMAT DISEMADI: Hasyikin menyiram air bunga mawar di pusara suaminya ditemani anak, Zinedine Zidane dan Veralyna Kay semasa pengebumian Bill di Lambir, semalam.

erbangsa Iban, Bill memeluk agama Islam pada tahun 1996 selepas disahkan Pejabat Agama Islam Miri apabila berkahwin dengan isterinya, Hasyikin Hatta, 41.
MIRI: Selesainya pengurusan jenazah Bill Kayong yang turut melibatkan upacara penghormatan terakhir mengikut adat kaum Iban membuktikan betapa kuatnya persefahaman dan toleransi tinggi antara kaum di Sarawak dalam memahami dan menghormati adat tradisi dan kepercayaan kaum lain.

Bill atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah telah selamat dikebumikan mengikut syariat Islam di Tanah Perkuburan Islam Lambir di Jalan Lusut, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir sekitar jam 3 petang semalam.

Sebelum disemadikan, upacara ‘nyegaie’ diadakan selama dua malam di kediaman Bill di Desa Senadin.

‘Nyegaie’ memberi peluang kepada sanak saudara, rakan taulan serta kenalan pelbagai kaum berkumpul meratapi dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Berbangsa Iban, Bill memeluk agama Islam pada tahun 1996 selepas disahkan Pejabat Agama Islam Miri apabila berkahwin dengan isterinya, Hasyikin Hatta, 41.

Bercakap tentang aspek toleransi kaum, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, rakyat harus memberi keyakinan kepada pihak berwajib dalam menangani isu-isu sensitif khasnya melibatkan agama dan kepercayaan.

Ketika berlakunya kematian, katanya, penduduk harus menunjukkan rasa hormat kepada jenazah dan ahli keluarga walaupun terdapat perbezaan pendapat kerana pemahaman sedemikian amat penting dalam melahirkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Kita harus peka terhadap sensitiviti agama. Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu. Kita harus ikut saluran yang betul,” jelas Ahmad Lai ketika dihubungi semalam.

Mengulas perkara sama, Ketua PKR Sibuti Mohdar Ismail berkata, amalan hormat-menghormati budaya dan kepercayaan kaum lain adalah kekuatan rakyat Sarawak.

Katanya, setiap rakyat memikul tanggungjawab menjaga sensitiviti kaum lain untuk mengelak wujudnya perbalahan yang pastinya akan merugikan semua pihak.

“Buatlah sesuatu yang betul tanpa menimbulkan apa-apa perbalahan,” jelas Mohdar.

Mohdar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat tidak mahu keharmonian dan toleransi yang dibanggakan rakyat Sarawak terjejas kesan tindakan golongan tertentu yang tidak peka akan sensitiviti kaum.

“Jangan menimbulkan isu yang boleh mencetuskan perbalahan kaum. Kekalkan bertoleransi demi kepentingan kita semua. Ini kerana di Sarawak kita mempunyai pelbagai etnik,tradisi dan kepercayaan,” ujarnya.

Bekas Setiausaha PEDAS Louis Jampi pula berkata, sikap terlampau sensitif khasnya melibatkan isu agama dan kepercayaan harus dibendung daripada menular dalam masyarakat pelbagai kaum.

“Kita harus kekalkan sikap toleransi yang diamalkan kita sekarang. Ini kerana perpaduan kaum dan toleransi agama penting untuk keamanan,” jelas Louis.

Louis berterima kasih dan memuji kerjasama Jabatan Agama Islam (JAIS) dan pihak Masjid Ar’Rayyan Permyjaya yang menguruskan jenazah Bill.

Jenazah telah dibawa ke masjid tersebut pada jam 10.35 pagi semalam dari kediaman keluarga di Desa Senadin untuk dimandi, dikapan dan solat jenazah disempurnakan selepas solat Jumaat sekitar jam 1.30 petang.

Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mayat Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Lambir menggunakan van jenazah melalui perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer.

Kematian Bill, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri pada Selasa, 21 Jun lalu bukan sahaja mengejutkan penduduk Miri, malah seluruh negara setelah ditemui maut ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali.

Lebih dikenali sebagai aktivis kaum Dayak dan pejuang isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Bill, 43, ditemui mati pada jam 8.30 pagi di dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya di lampu isyarat berdekatan pusat komersil Emart, Tudan.

- Utusan Borneo

Polis gerak 24 jam dalam kes Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 24, 2016
Miri ACP Junaidi Bujang
MIRI: Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Junaidi Bujang semalam mendedahkan sejak kertas siasatan untuk kes tembak yang meragut nyawa aktivis juga Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong dibuka, pihaknya telah bergerak 24 jam tanpa rehat.

“Sejak lebih 24 jam lalu (21 Jun), kita telah bergerak 24 jam tanpa rehat dan kita adakan mesyuarat setiap empat jam atau pada bila-bila masa diperlukan dan kita sudah ada kesan tertentu dan kita cuba kecilkannya (siasatan).

“Kita memang mengambil berat dan memandang serius terhadap kes ini. Kita harus menegakkan keadilan untuk mangsa,” katanya kepada pemberita di sini ketika ditanya mengenai perkembangan kes berprofil tinggi itu yang turut mendapatkan liputan dan perhatian media antarabangsa.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan kerana ia amat sensitif dan sebarang komen sama ada daripada pihak polis atau lain, boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Junaidi juga mengesahkan satu badan bertindak khas telah didatangkan khas dari Bukit Aman, sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Polis Negara dan ia diketuai sendiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sarawak, SAC Dev Kumar, yang turut berada di Miri ketika ini.

Ditanya apakah motif pembunuhan Bill berkaitan dengan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperjuangkan oleh beliau, Junaidi berkata pihaknya tidak boleh fokus terhadap satu sudut sahaja sebaliknya perlu melibatkan banyak sudut dan perkara yang boleh menyumbang kepada pembunuhannya.

- Utusan Borneo

Siasatan kes bunuh Bill tidak harus libatkan polis negeri ini: Baru Bian.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
KEADILAN: Baru (barisan depan, tiga kiri) mengetuai pemimpin PKR Sarawak menuntut keadilan atas kematian Bill Kayong.

KUCHING: Pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan Bill Kayong tidak seharusnya melibatkan pegawai polis yang bertugas di negeri ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata pengecualian itu penting bagi memastikan pasukan khas tersebut ‘bebas’.

“Kita mengalu-alukan pengumuman Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes Bill dan kita meminta tidak ada pegawai polis yang bertugas di sini terlibat dalam pasukan tersebut untuk memberi persepsi ia ‘bebas’,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How serta beberapa pemimpin PKR Negeri di sini, semalam.

Menurut Baru PKR Sarawak membuat pendirian kukuh mengenai kes Bill kerana banyak kes sama yang berlaku khasnya di Miri sejak 2012 masih gagal diselesaikan.

“Pembunuhan Bill Kayong kelmarin (Selasa) tidak boleh dibiarkan menjadi satu lagi kes sama dalam fail polis Sarawak dan harus diselesaikan.

“Kami (PKR Sarawak) sangat bimbang dengan tahap keganasan yang berlaku dalam masyarakat kita terhadap ahli politik dan aktivitis sosial,” katanya.

Oleh itu ujarnya, untuk mengetahui motif sebenar pembunuhan itu polis mesti melihat aktiviti-aktiviti Bill sebagai ahli PKR dan Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang dikongsi meluas dalam media sosial dan akhbar.

“Kematian Bill mungkin ada kaitan dengan kedua-dua aspek hidupnya. Bill terkenal sebagai ahli politik dan bertanding sebagai calon PKR di Bekenu pada Pilihan Raya Negeri lalu.

“Selain itu beliau amat dikenali sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo dan sebagai setiausaha PEDAS Allahyarham aktif mempertahankan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) malah sering mewakili penduduk rumah panjang menentang pencerobohan (tanah) oleh syarikat pembalakan dan perladangan,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu.

Kelmarin Bill maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berlaku di lampu isyarat berdekatan Pusat Komersial Emart, Tudan Miri kira-kira jam 8.30 pagi.

Bill, 43, mati di tempat kejadian setelah satu das tembakan yang dilepaskan penjenayah terbabit menembusi cermin keretanya dan mengena bahagian leher sebelah kanan (bawah telinga kanan).

- Utusan Borneo

Masyarakat Dayak kutuk pembunuhan kejam Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 22, 2016
TUNTUT KEADILAN: Dusit (tiga kanan) bersama Sidi (tiga kiri), John (tengah) dan wakil-wakil 13 NGO Dayak pada sidang media di Kuching, semalam.
KUCHING: Masyarakat Dayak amat terkesan dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Bill Kayong, 43, yang telah mengabadikan hidupnya memperjuangkan hak-hak kaum tersebut.

Jurucakap bagi 13 NGO Dayak Dr Dusit Jaul berkata, meskipun tindakan itu umpama menjolok sarang tebuan dan mencabar keazaman Dayak, masyarakat harus kekal bertenang dan jangan bertindak di luar batas undang-undang.

Sebaliknya kata beliau, biarkan pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci bagi menghadapkan dalang di sebalik kejadian itu ke muka pengadilan.

“Pembunuhan kejam ini menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat Dayak kerana ia umpama menjolok sarang tebuan dan pada masa sama mencabar keazaman Dayak.

“Kita berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci dan hadapkan dalang ke muka pengadilan dengan segera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Sidi Munan dan Timbalan Presiden Kongres Dayak Malaysia (DNC) Datuk John Tenewi Nuek.

Kematian Bill katanya, merupakan satu kehilangan besar kerana beliau dengan lantang sering memperjuangkan hak Dayak.

Tidak ada kata-kata yang dapat mengambarkan kesedihan dan kemarahan apabila nyawa pejuang hak Dayak ditamatkan sebelum tiba waktunya.

“Bill Kayong tidak mati sia-sia. Beliau meninggal dunia sebagai wira kepada masyarakat Dayak apabila mengabadikan hidup untuk perjuangan Dayak dan untuk itu, beliau akan sentiasa dikenang oleh seluruh masyarakat Dayak,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi terhadap perkara itu dan membiarkan pihak polis menjalankan siasatan.

Sementara itu, Sidi menyeru semua NGO Dayak memberi kerjasama dengan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

“Percayalah, kematiannya bukan sia-sia. Nama Bill Kayong akan terus dikenang sampai bila-bila atas dedikasinya memperjuangkan masyarakat peribumi Sarawak,” katanya.

Presiden Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) Kapten (B) Collin Imran ketika dihubungi Utusan Borneo berkata, kematian Bill Kayong akan meningkatkan lagi semangat dalam memperjuangkan hak-hak Dayak.

Menurut beliau, tidak dinafikan insiden itu menimbulkan kemarahan di kalangan ahli serta rakan seperjuangan namun akan membiarkan pihak polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan bagi memastikan penjenayah itu ditangkap.

“Kematian anda merupakan pembakar semangat kami untuk meneruskan perjuangan demi hak-hak kita serta keadilan,” katanya.

- Utusan Borneo

1,000 hadiri penghormatan terakhir jenazah Bill Kayong.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 24, 2016




MIRI: Lebih 1,000 orang terdiri daripada sanak saudara, rakan-rakan, kenalan serta ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memberikan penghormatan terakhir kepada aktivis yang juga Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong yang ditembak mati pada 21 Jun lalu.

Malah mereka yang datang memberi penghormatan adalah daripada pelbagai bangsa dan agama, sama ada dari NGO mahupun parti-parti politik, khususnya PKR, yang datang dari seluruh negeri.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Bill Kayong, seawal jam 5 petang pada 22 Jun lalu ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara  dan Keselamatan, Datuk Lee Kim Shin; ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting; Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang serta pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii.

Manakala pada sebelah malamnya ialah Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo yang juga rakan karib beliau serta isteri; Naib Ketua Wanita PKR, Voon Siak Ni serta  wakil kepada ahli politik yang lain.

Upacara memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah beliau, diadakan di kediamannya di Desa Senadin di sini selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis, sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lambir, di Jalan Lusut-Taman Tunku dekat sini.

Perubahan tempat pengebumian jenazah Bill Kayong atau Mohd Hasbi Abdullah dari Tanah Perkuburan Islam Batu 1 di Kuala Baram ke Lambir, dibuat semalam, atas permintaan ahli keluarga beliau sendiri.

Sementara itu, orang ramai yang memberi penghormatan kepada beliau memenuhi dalam dan luar rumah hingga ke lorong dan laluan utama, Jalan Jati Utama, manakala kehadiran mereka di kediamannya seawal jam 4 petang kelmarin, sebaik jenazahnya dikeluarkan dari Rumah Mayat Hospital Miri, setelah selesai bedah siasat.

- Utusan Borneo

Kerana luka tembakan.

# News Source
(Utusan Borneo)
Published : June 23, 2016
PENGHORMATAN: Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak (dari kiri) Alim Mideh dari Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Setiausaha Agung Persatuan Adat Asal Bidayuh Sarawak Midi Johnek dan Jileng Kion (DNC) bergambar bersama poster sebagai tanda penghormatan kepada aktivis Bill Kayong di Taman Muzium, Jalan Tun Abang Haji Openg di Kuching, semalam. Wakil NGO Dayak berkenaan mengambil inisiatif itu untuk memberi peluang kepada warga Kuching memberi penghormatan terakhir kepada Bill bermula jam 3 petang semalam hingga Ahad ini.

PILU: Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga, saudara dan rakan ketika menunggu jenazah Bill Kayong dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Miri, petang semalam selepas bedah siasat.
MIRI: Setiausaha PKR Miri juga aktivis kaum Dayak, Bill Kayong yang ditembak di dalam kenderaannya di simpang lampu isyarat berhadapan Pusat Komersil Emart di sini mati disebabkan kesan peluru pada bahagian kanan lehernya.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas jenazah mangsa semalam, terdapat dua butir peluru ditemui dalam luka tembakan pada bahagian kanan leher mangsa.

Katanya, luka tembakan itu menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian.

Ketika ditanya berapa banyak das tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa, beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

“Saya tidak dapat memberikan maklumat dengan terperinci bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, SAC Dev Kumar memberitahu sehingga semalam, tiada tangkapan dibuat.

Bedah siasat ke atas jenazah mangsa yang dilakukan semalam selesai menjelang petang dengan jenazahnya dibawa keluar dari rumah mayat pada jam 4 petang oleh ahli keluarga, saudara dan rakan-rakan yang sabar menunggu sejak jam 10 pagi.

Jenazah Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Hasbi Abdullah akan dibawa ke kediamannya di Desa Senadin Fasa 5 di sini untuk majlis penghormatan terakhir kepada beliau sehingga malam ini.

Pagi esok, jenazahnya akan diserah kepada pihak Majlis Islam Sarawak dan Jawatankuasa Masjid Ar-Rayyan untuk dimandi seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1, Kuala Baram selepas solat Jumaat.

- Utusan Borneo